Kerajaan bakal melaksanakan empat langkah utama dalam menangani kes buli yang berlaku di sekolah di seluruh negara, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, empat langkah itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Sosial Negara yang dipengerusikan oleh beliau sendiri di Putrajaya pada Jumaat.

Menurutnya, langkah pertama adalah melaksanakan pengelasan data yang memenuhi definisi buli yang sebenar dan diikuti langkah kedua iaitu kolaborasi yang berkesan bagi mewujudkan intervensi sosial bersepadu antara Jabatan Pendidikan negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara serta Polis Diraja Malaysia.

"Langkah ketiga pula adalah memastikan agenda sosial dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Negeri dan Jawatankuasa Tindakan Daerah. Manakala langkah keempat ialah penggunaan media sosial oleh badan korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bertindak sebagai ejen anti buli," katanya di sini pada Jumaat.

Ahmad Zahid berkata, usul itu sebelum ini dibawa Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat ke Majlis Sosial Negara selepas isu buli dilihat semakin meruncing hingga mengakibatkan kematian.

Terdahulu, Ahmad Zahid turut mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi mengenai Tugas Khas sekolah-sekolah tahfiz.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri memaklumkan bahawa kerajaan telah memperuntukkan RM30 juta tambahan bagi penambahbaikan pusat tahfiz di seluruh negara bagi tahun ini.

Kata beliau, peruntukan yang diberikan secara 'one off' itu disalurkan kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri untuk tujuan penyelarasan agihan.

"Mesyuarat Jemaah Menteri 4 Oktober lalu memperuntukkan RM30 juta sebagai tambahan kepada peruntukkan sebelum ini yang telah diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan bajet 2018 lalu.

"Penambahan RM30 juta itu menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan yang disalurkan bagi menambah baik institusi tahfiz berjumlah RM60 juta sekali gus membuktikan keprihatinan kerajaan dalam memastikan pusat tahfiz mempunyai tahap persekitaran pembelajaran yang kondusif," katanya.