Cubaan empat lelaki mencuri lembu dengan menyumbatnya dalam kereta gagal apabila kenderaan itu terbabas di Kawasan Perindustrian Batu Kawan, petang semalam.

Dalam kejadian jam 5 petang Jumaat, kenderaan yang dinaiki empat lelaki terbabit ditahan sepasukan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang selepas mengejarnya sejauh enam kilometer.

Bagaimanapun tiga daripada mereka sempat melarikan diri dan kini sedang dikesan pihak polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Supt Shafee Abdul Samad berkata, kejadian kecurian lembu itu disedari seorang pemancing.

Dia bertindak mengejar kereta yang dinaiki empat lelaki berkenaan sebelum memaklumkan perkara tersebut kepada Penguatkuasa JPJ yang sedang melakukan sekatan di jalan bertentangan di Valdor, Nibong Tebal.

Pemeriksaan awal mendapati kereta itu menggunakan nombor pendaftaran palsu serta dipercayau kenderaan curi yang dilaporkan hilang di Baling, Kedah baru-baru ini.

Polis turut merampas merampas peralatan seperti parang, pedang Samurai, alat penyuntik, pisau, beg galas, damak dan tali yang digunakan suspek.

Kes disiasat dibawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.