Polis memburu empat lelaki yang menggunakan senapang patah ketika upacara di sebuah kuil di Tanjung Karang, Kuala Selangor.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat berkata, pihaknya mengesan satu video yang tular memaparkan beberapa lelaki melepaskan 15 hingga 20 das tembakan ke udara menggunakan senapang patah.

"Kejadian dipercayai berlaku pada pukul 12 tengah hari, pada 12 Mei lalu, semasa sebuah upacara diadakan.

"Empat orang suspek lelaki berumur sekitar 30 hingga 67 tahun telah dikenalpasti dan akan ditahan untuk siasatan lanjut.

"Senjata api yang digunakan akan turut dirampas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960.

Suspek akan direman untuk siasatan lanjut, ujarnya.