Polis berjaya menumpaskan geng curi motosikal selepas menahan empat lelaki dalam serbuan di sebuah rumah di Permatang Pauh, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata bertindak hasil risikan dan intipan sejak seminggu lepas, polis menyerbu sebuah rumah pada pukul 4 pagi dan menahan empat lelaki berusia 24 hingga 33 tahun.

"Hasil pemeriksaan mendapati empat lelaki itu terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal di sekitar daerah SPT sejak beberapa bulan lepas dan modus operandi mereka ialah mencuri (motosikal) di pusat membeli belah.

"Kemudian mereka menyimpan motosikal yang dicuri itu di rumah yang diserbu berkenaan sebelum menjual kepada pembeli atau meleraikan komponennya dan menjual kepada mat rempit," katanya di sini hari ini.

Katanya polis merampas pelbagai komponen motosikal yang telah dileraikan di rumah itu dan beberapa peralatan untuk mencuri kenderaan berkenaan antaranya tiga batang kunci Allen yang telah diubah suai serta sepana.

Nik Ros Azhan berkata empat lelaki itu juga menjadikan rumah yang disewa seorang daripada mereka sebagai tempat menghisap dadah dan polis merampas sejumlah syabu di situ.

Katanya ujian air kencing mendapati kesemua mereka postif dadah manakala tiga daripadanya mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah.

Sementara itu dalam perkembangan lain, beliau berkata seorang lelaki berusia 52 tahun yang memang dihendaki polis sejak 2008 di di Jalan Bukit Teh, Machang Bubok di sini berjaya ditahan semalam kira-kira pukul 6 petang.

"Sepasukan polis yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah menahan motosikal dinaiki lelaki itu kerana dalam keadaan mencurigakan. Hasil pemeriksaan kami menemui dadah jenis heroin dan syabu bernilai RM2,000 dalam beg sandang yang dibawanya," katanya.

Katanya pemeriksaan juga mendapati lelaki itu memang dikehendaki polis sejak 2008 bersabit kes curi kenderaan dan dia kini direman selama lima hari bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA