Empat lelaki maut, manakala dua lagi cedera parah apabila kereta dinaiki bertembung dengan sebuah lori kargo di Kilometer 52, Jalan Sri Aman-Sarikei di sini pagi tadi.

Dalam kemalangan pukul 1.52 pagi itu, mangsa, Mixzezly Herry dan Roman Ensalit, yang belum dikenal pasti umurnya serta Augustine Rentap Dudi, 19, dan Dunstan Empawie, 29, disahkan mati di tempat kejadian.

Sementara itu, dua lagi mangsa, Hail Sumping, 41, yang cedera parah di kepala dan Larry Jelapang, 26, patah kaki kanan kini dirawat di Hospital Sri Aman.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supritendan Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu sebuah lori kargo dengan kereta Perodua Kancil.

“Siasatan awal mendapati pemandu lori dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta Perodua Kancil yang dinaiki oleh enam lelaki berasal dari Engkelili di sini.

"Lori dari arah Sri Aman menuju ke Sibu itu telah memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Perodua Kancil yang datang dari arah Sarikei," katanya ketika dihubungi hari ini.

Empat lelaki maut, dua cedera apabila kereta bertembung lori kargo di Jalan Sri Aman-Sarikei di sini. - Gambar Astro AWANI.

Menurutnya, rempuhan kuat menyebabkan empat mangsa dalam Perodua Kancil meninggal dunia manakala dua lagi cedera parah tetapi pemandu lori hanya mengalami kecederaan ringan.

Alexson berkata, mayat empat mangsa telah dihantar ke Hospital Sri Aman untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau beekata, pemandu lori berusia 50-an telah ditahan untuk saringan air kencing.