Empat anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ditahan reman enam hari mulai hari ini kerana disyaki terlibat berhubung kes mengeluarkan lesen memandu tanpa melalui prosedur sepatutnya.

Perintah reman itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, Afiq Agoes, selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kesemua empat individu itu, berumur dalam lingkungan 26 hingga 38 tahun, merupakan anggota JPJ cawangan Kota Belud, Kota Kinabalu, dan Tuaran.

Terdahulu, suspek yang ditahan SPRM semalam bagi membantu siasatan, tiba di mahkamah pada pukul 9.02 pagi dengan berpakaian lokap berwarna oren sambil tangan bergari.

Menurut Pegawai Pendakwa SPRM, Faliq Basiruddin, laporan berhubung penerimaan suapan bernilai RM2,200 hingga RM3,000 setiap satu lesen itu dibuat di Pulau Pinang selepas saksi mencurigai sesuatu yang tidak betul berhubung permohonan lesennya yang dibuat di Pulau Pinang tetapi diproses di Sabah.

BACA: Rasuah berkaitan kesalahan jalan raya: 16 individu ditahan SPRM

Katanya, sepanjang tempoh reman itu pihak SPRM akan memanggil saksi kes berkenaan untuk mendapatkan keterangan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009 kerana memperoleh suapan.