Empat pekerja binaan warga asing maut apabila lif pengangkut penumpang yang dinaiki mereka gagal berfungsi dan terjatuh dari tingkat 13 di tapak pembinaan blok kondominium di Presint 15 di sini.

Dalam kejadian 10.45 pagi itu, tiga mangsa yang merupakan warga Indonesia maut di tempat kejadian manakala seorang lagi pekerja Bangladesh meninggal dunia di Hospital Putrajaya pukul 3 petang ketika dirawat di hospital berkenaan akibat cedera parah.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Putrajaya DSP Zaihairul Idrus berkata ketiga-tiga warga Indonesia berkenaan yang merupakan penampal simen, berumur lingkungan 20-an meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Beliau berkata warga Bangladesh itu pula merupakan operator lif tersebut berumur sekitar 40-an. Kesemua mayat dihantar ke Hospital Putrajaya.

Zaihairul berkata lif itu dipercayai mengalami masalah brek sehingga gagal dikawal dan menyebabkan ia terjatuh.

Lif terbabit turut membawa beberapa kampit simen yang dianggarkan seberat 1,200 kilogram, katanya.

Polis mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut dan pihak kedutaan Indonesia dan Bangladesh telah dimaklumkan mengenai perkara itu.

Beliau berkata punca sebenar kemalangan masih disiasat dan kerja-kerja di kawasan itu dihentikan buat sementara waktu.