Empat warga asing yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini Jumaat kerana berkelakuan tidak sopan dengan berbogel di puncak Gunung Kinabalu pada 30 Mei lalu, meninggalkan Sabah pada Sabtu.

Rakyat Britain, Eleanor Grace Hawkins, 23, rakyat Belanda Dylan Thomas Snel, 23, dan dua beradik warga Kanada, Lindsey Peterson, 23, dan Danielle Anne Louisa Peterson, mendaftar masuk bagi penerbangan ke Kuala Lumpur kira-kira jam 10 pagi.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Bernama hari ini.

Hakim Mahkamah Sesyen Dean Wayne Daly semalam menjatuhkan hukuman penjara tiga hari atau denda sehingga RM5,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda ke atas setiap tertuduh selepas mereka mengaku bersalah berbogel di atas puncak Gunung Kinabalu pada 30 Mei lalu.

Hukuman penjara berkenaan berkuat kuasa dari tarikh mereka ditahan pada 9 Jun lalu.

Bagaimanapun kesemua tertuduh membayar denda berkenaan melalui peguam mereka Ronny Cham selepas hakim menjatuhkan hukuman.