Empat ahli lembaga pengarah dan seorang pengurus syarikat membaiki jentera berat, yang didakwa mencemari Sungai Gong, Rawang, dibebaskan dengan ikat jamin RM400,000 setiap seorang hari ini.

Kesemua mereka sebelum ini tidak dibenarkan dijamin ketika dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang pada 15 September lalu, selepas masing-masing direman sejak 5 September lalu.

Dalam prosiding semakan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Selayang (yang tidak membenarkan jaminan) hari ini, Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Norsharidah Awang membenarkan kesemua tertuduh termasuk empat adik beradik itu untuk diikat jamin.

Mahkamah membenarkan masing-masing dijamin sebanyak RM400,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan mereka menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan bahawa perintah jaminan boleh ditarik balik jika tertuduh melakukan kesalahan ketika berada dalam tempoh jaminan.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah menimbangkan faktor kesihatan tertuduh, keseriusan kes, kebarangkalian gangguan terhadap saksi dan faktor kes yang menarik perhatian awam.

Norsharidah membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah dan Noor Husnita Mohd Radzi, manakala pembelaan diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader.

Kelima-lima tertuduh adalah empat ahli lembaga pengarah yang juga adik-beradik iaitu Yip Kok Wai, 53; Yip Kok Mun, 58; Yip Kok Kuin, 50 dan Yip Kok Wong, 60; serta pengurus bengkel tersebut, Ho Voon Leong, 59.

Bagi pertuduhan pertama, kesemua mereka didakwa melakukan khianat dengan menyebabkan bahan buangan yang mengandungi bahan berbahaya dari bengkel Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd dilupuskan ke dalam alur air yang mana akan mengalir ke dalam Sungai Gong dengan mengetahui bahawa ia akan menyebabkan susut bekalan air bagi minuman manusia.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di premis berkenaan di Kampung Sungai Dua, Rawang dekat sini antara 2 dan 3 September lalu mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima hingga 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan kedua, mereka dengan niat bersama dituduh melepaskan bahan buangan mengandungi bahan berbahaya daripada bengkel sama ke dalam alur air yang mana akan mengalir ke sungai sama tanpa lesen, di tempat dan masa sama.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan hukuman denda RM100,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.