Cubaan empat penjenayah rentas sempadan melakukan jenayah culik tidak kesampaian apabila pasukan keselamatan Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (Esscom) berjaya menembak mati mereka di perairan Felda Sahabat, awal pagi ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din berkata kejayaan itu adalah hasil tindakan pantas dan kolaborasi antara pasukan khas Esscom, Unit Komando 69 dan pasukan Polis Marin semasa membuat rondaan jarak jauh.

Menurutnya, bot pancung yang dinaiki suspek dikesan cuba menghampiri sebuah kapal nelayan dipercaya dengan tujuan untuk melakukan penculikan untuk tebusan.

"Bagaimanapun, kehadiran mencurigakan mereka dikesan pasukan keselamatan yang membuat rondaan sebelum memasang lampu amaran polis.

"Ekoran itu, empat penjenayah terbabit melepaskan tembakan ke arah bot pasukan keselamatan kira-kira pukul 2 pagi tadi di kawasan perairan Felda Sahabat Lahad Datu iaitu 4.7 batu nautika dari sempadan antarabangsa Malaysia-Filipina," katanya dalam satu sidang media khas hari ini.

Tambah Ramli, bagi mempertahankan diri, pasukan keselamatan terpaksa membalas tembakan apabila kesemua suspek mula bertindak agresif ketika cuba dihampiri.

Katanya, kesemua mereka tumpas dan ditemui terbaring di dalam bot pancung itu.

Kata beliau, hasil pemeriksaan lanjut ke atas mayat-mayat suspek, pihak pasukan tidak menjumpai sebarang dokumen pengenalan diri dan senjata berat dipercayai digunakan suspek.

Ramli berkata, senjata api itu dipercayai telah dicampak ke laut semasa kejadian berbalas tembakan berlaku.

"Pasukan Polis Marin dan agensi-agensi lain telah diarahkan untuk membuat selaman mengesan senjata-senjata itu di lokasi.

"Sepucuk pistol, pelancar bom dan kelongsong peluru yang banyak juga telah dirampas," tambahnya.

Siasatan masih dijalankan dan pihak polis meminta orang ramai agar tenang dan tidak membuat sebarang spekulasi.