Empat penumpang tersepit manakala 13 lagi cedera apabila bas yang dinaiki mereka dipercayai merempuh sebuah treler di Kilometer (Km) 305 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di sini pada petang Khamis.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, 16 orang anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng dan Tapah dikejarkan ke tempat kejadian dan berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam bas.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tapah, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Ahmad Noor Syamsi Zainoldin, bas yang membawa 29 orang penumpang itu telah melanggar treler dari arah belakang.

"Anggota bomba telah mengeluarkan empat orang mangsa iaitu satu lelaki dan tiga perempuan, dengan bantuan dari Angkatan Pertahanan Awam, pihak hospital dan polis.

"Keseluruhan mangsa yang cedera seramai 17 orang termasuk pemandu bas dan jumlah penumpang seramai 29 orang. Mangsa yang cedera sudah dibawa ke hospital dengan ambulans," katanya dalam satu kenyataan.