Sekumpulan empat penjenayah 'kempunan' untuk mendapatkan laba besar sempena Tahun Baharu Cina ini apabila cubaan untuk merompak sebuah kedai pajak gadai gagal selepas alat penggera premis terbabit berbunyi.

Dalam kejadian di Jalan Kledang, di sini, sekitar 4 pagi itu, kesemua perompak warga asing berusia dalam lingkungan 45 hingga 60 tahun itu berjaya dicekup anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) yang kebetulan sedang melakukan rondaan di sekitar premis itu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, anggota polis kemudian telah bertindak menghubungi pemilik kedai yang memaklumkan mereka tidak mendapat mengesan sebarang imej melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang boleh diakses menerusi telefon bimbit.

Polis dengan bantuan pihak bomba mereka telah berjaya menahan dua lagi suspek yang sedang bersembunyi di atas bumbung kedai sekitar jam 8.30 pagi. - Foto Astro AWANI
Katanya, pihak polis kemudiannya telah pergi ke bahagian belakang kedai dan mendapati pintu belakang terbuka, dan sebelum menghubungi cawangan Unit Kereta Peronda Polis (MPV) bagi mendapatkan bantuan.

Jelas Mohd Ali lagi, pemeriksaan awal mendapati beberapa kelibat suspek telah dilihat melarikan diri di dalam kedai berkenaan menuju ke tingkat atas kedai bersebelahan, dan anggota cuba untuk mengejar tiga orang suspek yang kemudian bertindak melarikan diri ke arah bumbung kedai.

Kemudiannya pada sekitar 4.30 pagi, pihak polis berjaya menangkap seorang lelaki di dalam sebuah kenderaan jenis Toyota Avanza di luar kedai dipercayai rakan suspek, manakala seorang lagi suspek ditahan sekitar 4.45 pagi apabila beliau dipercayai jatuh dari bumbung kedai bersebelahan.

Katanya, dengan bantuan pihak bomba mereka telah berjaya menahan dua lagi suspek yang sedang bersembunyi di atas bumbung kedai sekitar jam 8.30 pagi.

Kesemua empat suspek kemudian telah dibawa ke pejabat D9 IPD Ipoh bagi siasatan lanjut.

Pihak polis turut merampas beberapa alatan pertukangan, wang tunai, sarung tangan serta dua buah kenderaan jenis Toyota Avanza dan Proton Wira bagi membantu siasatan.

Tiada sebarang kerugian dilaporkan manakala kes akan disiasat di bawah seksyen 457 Kanun Keseksaan.