Polis menahan empat suspek lelaki dipercayai terbabit dalam kes bunuh seorang remaja lelaki berusia 14 tahun di Jalan Keramat, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Zainuddin Ahmad berkata dalam kejadian kira-kira pukul 1.53 pagi itu, mangsa Muhammad Israf Firdaus Abdullah, dipercayai dipukul dengan objek keras di bahagian kepala sehingga menyebabkan kematian.

"Hasil soal siasat awal, kesemua suspek berusia lingkungan 20 hingga 22 tahun mengaku terlibat dalam kejadian tersebut ... punca didakwa disebabkan mangsa cuba mencuri barangan dan aksesori kereta.

"Kami juga sedang mengesan seorang lagi suspek dikenali sebagai Hafiz Ayam bagi membantu siasatan," katanya kepada pemberita.

Katanya mangsa yang ditemukan di kawasan lorong berhampiran tebing sungai itu juga mempunyai kesan lebam dan melecet di bahagian pipi sebelah kiri.

Kesemua suspek yang ditahan semalam direman sehingga 23 Mac ini, katanya.