Empat universiti awam Malaysia berstatus universiti penyelidikan yang berusia di bawah 50 tahun kini tersenarai dalam kelompok 23 universiti terbaik dunia.

Berdasarkan senarai ranking dunia bagi tahun 2017/2018 terbitan Quacquarelli Symonds (QS) hari ini, Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya melonjak ke kedudukan ke-15 daripada tempat ke-38 pada 2016.

Selain itu, ranking Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga melonjak daripada posisi ke-32 kepada kedudukan ke-16, diikuti Unversiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM), masing-masing di kedudukan ke-21 dan ke-23 daripada kedudukan 30 dan 26 sebelum ini.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata bagi universiti berusia di bawah 50 tahun, pencapaian atau kedudukan terkini itu membuktikan usaha kementerian dan universiti dalam merangsang budaya penyelidikan mula membuahkan hasil.

"Untuk UPM, peningkatan sebanyak 23 anak tangga itu tentunya sesuatu yang menggembirakan pihak universiti, tidak terkecuali kementerian," katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Transformasi Kepimpinan Sukan anjuran Akademi Sukan UPM dan Sports Warrior Global (SWG) di Dewan Serbaguna Pusat Sukan UPM di sini, hari ini.

QS merupakan agensi penarafan universiti pertama dunia yang diiktiraf oleh The International Ranking Expert Group dan menjadi rujukan pihak berkepentingan seluruh dunia.

Hadir sama pada majlis hari ini ialah Naib Canselor UPM Prof Datin Dr Aini Ideris, ratu skuasy negara Datuk Nicol David dan Pengarah Sports Warrior Global, Sharon Wee yang juga bekas pemain skuasy kebangsaan.

Mengenai program itu, Idris berkata kementerian menyambut baik usaha yang dilakukan UPM dan SWG dalam menjadikan sukan sebagai landasan bagi melahirkan barisan kepimpinan di masa depan.

Dalam pada itu, Nicol berkata beliau berbangga kerana program itu mendapat sokongan kementerian dan percaya melaluinya ia mampu merealisasikan impian dalam melahirkan bakal pemimpin daripada kalangan pelajar sepertimana visi Kementerian Pendidikan Tinggi itu sendiri.

Program yang menyasarkan melatih penuntut UPM menjadi tokoh dan pemimpin berkaliber dalam bidang sukan di masa depan itu akan dilaksana melalui modul latihan yang disusun dari peringkat asas hingga ke modul utama, antaranya paradigma pengurusan badan sukan tempatan dan antarabangsa serta strategi dalam sukan dan program-program usahasama bersama persatuan-persatuan sukan kebangsaan.

-- BERNAMA