Kerajaan negeri Kedah akan meminda Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Kedah 1997 bagi mengikut keperluan semasa berikutan terdapat beberapa perkara yang perlu diperbaharui termasuk dari segi penguatkuasaan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri Datuk Badrol Hisham Hashim berkata cadangan pindaan itu antara lain bertujuan membanteras penyalahgunaan lesen hiburan bagi aktiviti yang berunsur perjudian.

"Enakmen ini memang perlu dipinda mengikut keperluan semasa kerana enakmen sedia ada sekarang sudah tidak relevan antaranya melibatkan jumlah caj mesin yang rendah iaitu sebanyak RM50 sebuah jika berbandingkan dengan negeri-negeri lain iaitu RM3,000 sebuah.

"Penguatkuasaan juga perlu dikaji semula bagi membolehkan tindakan tegas diambil terhadap pemilik premis yang menyalahgunakan lesen dan sebab itu kerajaan negeri akan bekerjasama dengan polis bagi mengatasi perkara ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Pemantauan Lesen Hiburan Peringkat negeri di sini hari ini.

Turut menyertai mesyuarat itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah SAC Mior Farid Al Atrash Wahid.


Badrol Hisham berkata pada tahun ini, terdapat 73 premis hiburan yang masih beroperasi di Kedah dan daripada jumlah itu, polis telah mencadangkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membatalkan 38 lesen sedia ada.

"Polis telah mencadangkan kepada PBT untuk membatalkan 38 lesen premis hiburan yang masih beroperasi kerana telah melanggar syarat-syarat lesen antaranya menyalahgunakan mesin simulator dengan menjadikan ia sebagai mesin perjudian.

"Kita juga dapati ada premis yang membenarkan kanak-kanak bawah umur masuk ke dalam premis dan menjalankan operasi lebih masa. Kita sentiasa memantau dan sama sekali tidak akan berkompromi dengan perkara ini dan akan mengambil tindakan yang tegas," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri juga mula tidak mengeluarkan lesen baharu sejak tahun lepas dengan hanya membenarkan urusan memperbaharui lesen sedia ada namun premis yang melanggar syarat, lesen mereka tidak akan diperbaharui atau akan terus dibatalkan.

Sementara itu, Mior Farid berkata polis telah mengenal pasti beberapa daerah yang mempunyai kes tertinggi dalam penyalahgunaan lesen membabitkan perjudian antaranya di Kota Setar, Kuala Muda dan Kulim.

"Kita menjalankan serbuan sekiranya menerima laporan berhubung perkara ini jadi saya minta pemilik premis supaya jangan menjalankan kegiatan haram atau mereka akan dikenakan tindakan undang-undang. Saya juga minta masyarakat untuk terus menyalurkan maklumat bagi membolehkan tindakan dijalankan," katanya.

-- BERNAMA