Enam cedera akibat letupan di Pulau Sialu

Enam cedera akibat letupan di Pulau Sialu
APMM mengingatkan semua pengusaha perkapalan dan komuniti maritim agar sentiasa patuh pada undang-undang dan menitikberatkan aspek-aspek keselamatan ketika melaksanakan sebarang aktiviti di laut. - Gambar hiasan
BATU PAHAT: Enam cedera apabila sebuah kapal tangki dan sebuah kapal malim terlibat dalam satu insiden letupan pada pukul 6 petang Jumaat, di kedudukan lima batu nautika barat daya Pulau Sialu, di sini.

Pengarah Zon Batu Pahat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Komander Maritim Mohamad Othman berkata, sebaik sahaja menerima laporan berhubung insiden berkenaan, seramai lima anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata sebaik tiba, pihaknya mendapati terdapat kesan letupan pada kapal malim yang berada dalam keadaan bertambat pada sebelah kapal tangki Gas Infinity yang bertujuan untuk melakukan kerja-kerja pemindahan barang.

“Dalam insiden tersebut, empat kru kapal malim bersama dua kru kapal tangki berusia lingkungan 29 hingga 48 tahun didapati mengalami kecederaan melecur akibat terkena letupan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas Mohamad lagi, kesemua  mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), di sini, untuk mendapatkan rawatan lanjut. 

Bagaimanapun kesemua mangsa dilaporkan stabil.

Beliau berkata kejadian kemalangan kapal itu masih dalam siasatan Zon Maritim Batu Pahat.

“Di sini pihak kami mengingatkan kepada semua pengusaha perkapalan dan komuniti maritim agar sentiasa patuh pada undang-undang dan sentiasa menitikberatkan aspek-aspek keselamatan ketika melaksanakan sebarang aktiviti di laut.

“Sebarang maklumat salah laku jenayah atau kecemasan orang ramai boleh menghubungi talian hotline 07- 4344020 atau 999 yang beroperasi secara 24 jam,” katanya

-- BERNAMA