Buat tahun kesembilan, Anugerah Merdeka mengangkat dan mengiktiraf individu unggul atas sumbangan mereka terhadap pembangunan dan pembentukan Malaysia menerusi bidang masing-masing.

Untuk tahun ini, enam tokoh dinamakan penerima hadiah berprestij anjuran PETRONAS bersama Exxon-Mobil dan Shell itu dalam majlis yang berlangsung di Dewan Filharmonik PETRONAS pada malam Isnin.

Mereka adalah Datuk Dr Abdul Halim Ismail; Datuk Seri Tengku Dr Zainal Adlin Tengku Mahamod, Prof Dr Balbir Singh Mohan Singh, Dr Timothy William, Prof Dr Masjuki Hassan dan Prof Dr Anthony Crothers Milner.

Mereka dipilih mengikut lima kategori, iaitu Pendidikan dan Komuniti; Alam Sekitar; Kesihatan, Sains dan Teknologi; Pencapaian Cemerlang Skolastik; dan Sumbangan Cemerlang kepada Rakyat Malaysia.

Anugerah disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, yang merupakan Penaung Diraja Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka yang berkenan berangkat hadir bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Turut sama hadir, Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Mohd Sidek Hassan; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin; Presiden Pengeluaran dan ExxonMobil Malaysia yang juga Pengerusi Anak Syarikat ExxonMobil Malaysia, Edward E Graham dan Pengerusi Shell Malaysia, Datuk Iain Lo.

Dr Abdul Halim, 78, dipilih dalam kategori Pendidikan dan Komuniti atas sumbangannya sebagai pelopor dan penggerak perbankan, insurans dan kewangan Islam negara juga rantau menerusi penubuhan Bank Islam Malaysia Berhad.

Pengerusi Badan Pemegang Amanah Lembaga Pelancongan Sabah, Tengku Dr Zainal Adlin, 77 tahun, pula menerima anugerah itu bagi kategori Alam Sekitar.

Bekas Pengerusi dan Presiden World Wildlife Fund (WWF) Malaysia diiktiraf atas bakti cemerlang memperjuang kelangsungan pemeliharaan dan pemuliharaan hidupan liar serta hutan di Malaysia dan rantau menerusi kerja lapangan, pendidikan, polisi dan kerjasama antarabangsa.

Anugerah bagi kategori Kesihatan, Sains dan Teknologi pula milik dua individu iaitu Professor Dr Balbir Singh Mohan, 62 tahun, dan Dr Timothy William, 47 tahun.

Dr Balbir diiktiraf atas penemuannya dan mempelopori usaha mengkaji penyakit malaria Plasmodium knowlesi, yang telah merubah pemahaman terhadap penyakit itu dan cara ia ditangani di dalam negera dan juga dunia.

Sementara anak jati Selangor, Dr Timothy pula dianugerahkan atas sumbangannya terhadap penemuan rawatan efektif bagi penyakit zoonotik yang membawa maut dan cara menangani jangkitannya.

Bagi kategori Pencapaian Cemerlang Skolastik, ia milik Dr Masjuki, 64 tahun, atas penyelidikannya dalam kejuruteraan dan sains tenaga, dan peranan penting yang dimainkan dalam penyelidikan dan pembangunan bahan bakar bio (biofuel) serta sumber lain untuk enjin automotif.

Pakar Asia Tenggara, Dr Anthony Milner, 72 tahun, pula merangkul anugerah dalam kategori Sumbangan Cemerlang kepada Rakyat Malaysia.

Ahli akademik kelahiran Australia yang memegang pengkhususan dalam sejarah Melayu dan Malaysia itu menghasilkan penyelidikan dan pendidikan yang membentuk dan mempromosikan pemahaman terhadap identiti negara, warisan dan budaya.

Setiap penerima membawa pulang trofi, sijil penghargaan, imbuhan serta karya seni Anugerah Merdeka ciptaan seniman Latiff Mohidin.

Untuk keseluruhan, 44 individu dan dua organisasi, termasuk penerima tahun ini, menerima pengiktirafan berprestij tersebut.