Enam kawasan baharu di Sarawak dikenal pasti sebagai kawasan jangkitan rabies, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 63 kawasan sejak diisytiharkan pada 2017.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata antara kawasan terlibat ialah sebuah rumah panjang, Rh.Samueh Adeng di Engkilili yang terletak di luar 10 kilometer radius kawasan jangkitan rabies.

Beliau berkata lima lagi kawasan ialah Kampung Seroban dan Kampung Siantan di Serian, Kin Chu Shin di Batu Kawa dan Kesuma Resort di Petra Jaya di sini, serta Tanjung Durian, Siniawan di Bau.

"Makmal Jabatan Veterinar negeri telah melakukan ujian terhadap 14 sampel dari Kuching, Serian, Bintulu, Kapit dan Sri Aman dari 5 hingga 12 Julai.

"Enam sampel yang diuji positif rabies adalah daripada enam kawasan terbabit termasuk rumah panjang manakala sampel dari Bintulu dan Kapit negatif," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri dalam kenyataan pada Sabtu.

Sementara itu, Uggah meminta pemilik anjing menghantar anjing mereka untuk divaksin dan memberi jaminan bahawa setakat ini tiada anjing yang telah divaksin, mati.

Beliau berkata Fasa 5 operasi merangkumi Sri Aman, Lubuk Antu dan Betong akan bermula dari 31 Julai hingga 3 Ogos.

"Saya merayu kepada pemilik anjing untuk menghantar anjing mereka untuk divaksin. Tolong beri kerjasama kerana rabies adalah penyakit yang mengancam nyawa," katanya.

Setakat ini, Sarawak merekodkan 19 kes rabies dengan 18 kematian, sejak wabak itu dikesan di negeri ini.

-- BERNAMA