Enam kereta dan empat motosikal rosak akibat ditimpa tangki air di Kuarters Polis Bukit Pelindung di sini, yang jatuh sekitar pukul 12.25 tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata difahamkan semua kenderaan yang terlibat adalah milik anggota polis yang mendiami kuarters itu.

Beliau berkata kejadian juga menyebabkan enam rumah di Taman Seri Pelindung Satu yang bersebelahan dengan kuarters itu rosak pada bahagian dapur dan belakang rumah.

"Bagaimanapun, setakat ini tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku akibat kejadian tersebut," katanya kepada pemberita di sini, pada Jumaat.

Mohamad Noor berkata siasatan masih dilakukan untuk mengetahui bagaimana tangki itu boleh jatuh, dan tindakan awal membersihkan serpihan besi yang dipercayai jatuh bersama tangki itu telah dilakukan.

Katanya kejadian itu juga sudah dimaklumkan kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) untuk tindakan sewajarnya.

-- BERNAMA