Sebanyak enam kes positif Rotavirus dilaporkan di Pulau Pinang setakat ini, menurut Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr M Sukumar hari ini.

Beliau ketika dihubungi memaklumkan, kesemua mangsa yang terdiri daripada lima kanak- kanak perempuan dan seorang lelaki berusia antara 1 hingga 8 tahun dimasukkan ke hospital akibat muntah dan cirit- birit.

Menurutnya, tiga mangsa masih menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam, dua mangsa di Hospital Balik Pulau manakala seorang mangsa di hospital swasta di negeri itu.

Kata beliau, sehingga hari ini semua mangsa berada dalam keadaan stabil.

Mangsa pertama dimasukkan ke hospital pada 27 September, seorang pada 28 September dan dua orang lagi masing-masing pada 29 september dan 30 September.

Rotavirus adalah sejenis virus yang menyebabkan jangkitan perut dan usus dan sering menyerang kanak-kanak terutamanya yang berumur lima tahun kebawah dengan gejala seperti cirit birit , muntah, demam dan sakit perut.

Pada 29 September lalu, sebanyak sembilan kes rotavirus dikesan membabitkan dua kes di Pulau Pinang dan tujuh di Kedah.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata kesemua mangsa dilaporkan mandi di taman rekreasi dekat Bukit Merah sebelum dikesan mengalami gejala cirit-birit dan muntah.

Susulan kejadian, Jabatan Kesihatan Perak telah mengarahkan penutupan sementara taman rekreasi berkenaan bagi pemeriksaan lanjut.