Enam laporan polis dibuat oleh sekumpulan penduduk Sendayan dan UMNO Bahagian Sendayan berkaitan pemilik akaun laman sosial Facebook yang memuat naik gambar dan status berunsur berita palsu terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Laporan polis tersebut dibuat di Balai Polis Seremban 2 pada pukul 1.15 tengah hari tadi oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Sendayan, MIC Kampung Sendayan, UMNO Bahagian Sendayan, Ketua Pemuda UMNO Kampung Sendayan, Wanita UMNO Kampung Sendayan dan Persatuan Mahasiswa Anak Negeri Sembilan.

Anggota Jawatankuasa Penerangan UMNO Cawangan Seri Sendayan, Noh Ahmad, berkata laporan tersebut dibuat berdasarkan status dan gambar pemilik akaun "Steven AC" yang menyatakan bahawa Program Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Orang Ramai Sendayan tidak mendapat sambutan penduduk setempat.

"Dia menyatakan bahawa program Tok Mat (Mohamad Hasan) bersama masyarakat, kehadiran tidak ramai dengan menunjukkan gambar dewan yang kosong.

"Gambar yang diambil mungkin sekitar pukul 7 atau 8 malam, sedangkan majlis bermula pada 9 malam yang dihadiri kira-kira 1,500 masyarakat setempat," katanya kepada Bernama di sini.

Noh berkata pihak berkenan sepatutnya bertanya mengenai perkara tersebut terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tanggapan. -- Bernama