Dua yang parah dalam kemalangan yang menyebabkan empat maut di Batu 16, Jalan Padang Lumat dari arah Alor Setar ke Sungai Petani, Jumaat malam, meninggal dunia pada pagi Sabtu.

Kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 9 malam tadi itu membabitkan tiga kenderaan bertembung dari arah hadapan.

Dua mangsa yang meninggal dunia pada pagi Sabtu, masing-masing di Hospital Yan dan Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar ialah penumpang Proton Iswara Hajir Ibrahim, 53 dan penumpang teksi Ooi Lian Choo, 76.

Manakala empat yang maut di tempat kejadian ialah pemandu Proton Iswara, Ahmad Ariff Haji Othman, 27, penumpang Iswara, Mohamad Azzmi Azizan, 32, pemandu teksi Ooi Guan Seng, 72 dan penumpang teksi Tai Cheng Kee @ Teh Suan Kee, 69.

Pemandu Proton Persona, kereta ketiga dalam kejadian, Nagaintren a/l Balakrishnan, 29, tidak mengalami kecederaan.

Ketika insiden berlaku, Proton Iswara yang dalam perjalanan ke Sungai Petani memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan teksi terbabit.

Akibat pertembungan itu, teksi berkenaan berpusing lalu dilanggar Proton Persona yang datang dari arah belakang.

Menurut Ketua Polis Daerah Yan, DSP Mohd Halim Yatim, kesemua mereka tersepit dan pihak bomba terpaksa memotong bumbung dan badan kenderaan bagi mengeluarkan mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 memandu secara merbahaya mengakibatkan kematian.