Taktik sekumpulan nelayan warga Indonesia yang cuba mengaut keuntungan dengan menangkap 300 kilogram ikan secara haram akhirnya ditahan oleh sepasukan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Tanjung Dalit, Tuaran, semalam.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, enam suspek terdiri daripada tekong dan kru bot berkenaan yang berusia di antara 21 hingga 43 tahun itu dicekup selepas didapati melanggar syarat sah lesen dibawah Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan kurang daripada tiga batu nautika dari kawasan darat.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz berkata, kegiatan nelayan warga asing itu terbongkar apabila sepasukan anggota yang menjalankan Op Sejahtera berjaya mengesan kedudukan bot dinaiki suspek dalam keadaan mencurigakan di perairan tersebut.

"Kesemua suspek dan hasil tangkapan ikan 300 kilogram serta bot kemudiannya dibawa ke jeti Maritim Malaysia Sepanggar untuk tindakan lanjut," katanya, dalam satu kenyataan media, pada Isnin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak Maritim Malaysia Sabah amat mengambil berat mengenai isu bot nelayan yang melanggar syarat sah lesen dan tindakan tegas akan diambil dari semasa ke semasa dalam usaha menangani permasalahan berkenaan.

Sekumpulan tekong dan kru bot ditahan selepas dipercayai mengaut keuntungan secara haram di perairan Tanjung Dalit, Tuaran. - Foto ihsan Maritim Malaysia Sabah