Enam pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lokman Hakim, Felda Lok Heng di sini cedera ringan selepas bas persiaran dinaiki mereka bersama 33 rakan serta dua guru terbalik di kanan jalan di KM26.5 Jalan Kulai-Kota Tinggi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Rahmat Othman berkata kejadian berlaku kira-kira 8.30 pagi ketika bas membawa pelajar tersebut bersama dua guru dalam perjalanan menghadiri Festival Jom Masuk Universiti di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat.

"Kemalangan dipercayai berlaku ketika bas persiaran dipandu lelaki berumur 30 tahun dari arah Kota Tinggi itu sedang menghala ke Kulai.

"Semasa sampai di tempat kejadian, bas dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan dipercayai berpunca dari struktur jalan dan kerosakan pada bas iaitu patah pada bahagian driveshaft sebelah kiri," katanya yang dihubungi di sini hari ini.

Rahmat berkata akibat daripada itu, empat pelajar perempuan dan dua pelajar lelaki mengalami luka-luka dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Kota Tinggi. -- BERNAMA