Enam penghantar makanan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rusuhan di sebuah restoran di Bandar Puteri, Puchong di sini minggu lepas.

Muhammad Hafiz Yusnan, 21, Muhamad Izzat Abd Bari, 22, Mohd Syukri Achyar, 39, Wan Hafizie Wan Hanapi, 28, S.Jaya Nantha Kumaran, 31, dan Amirul Zahari Zailani, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham.

Kesemua tertuduh didakwa bersama-sama 10 orang lagi yang masih bebas melakukan rusuhan itu pada 6.20 petang 18 Mei lepas mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Nor Ariffin membenarkan kesemua tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM2,500 serta seorang penjamin bagi setiap orang dan menetapkan 13 Julai untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim sementara Muhamad Izzat dan Mohd Syukri diwakili peguam Kailash Sharma, Jaya Nantha Kumaran diwakili peguam Zolazrai Zolkapli manakala tertuduh lain tidak diwakili peguam.

-- BERNAMA