Sebanyak enam pusat pemindahan banjir beroperasi di Sabah setakat 9 malam Rabu dengan lima di Kota Belud dan satu di Membakut yang menempatkan keseluruhan 1,613 mangsa daripada 692 keluarga.

Dalam satu kenyataan di sini, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah berkata di Kota Belud, mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan berkurang kepada 1,603 daripada 688 keluarga berbanding 1,829 merangkumi 758 keluarga, pagi Rabu.

"Daripada jumlah itu, seramai 540 orang (225 keluarga) ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi manakala 441 orang (227 keluarga) di Dewan Masyarakat Tun Said.

"Seramai 309 orang (90 keluarga) lagi ditempatkan di Dewan Sekolah Kebangsaan Pekan dan 179 orang (77 keluarga) di Dewan SMK Agama Tun Said," kata agensi itu.

Menurut kenyataan itu, pusat pemindahan banjir di Kompleks Sukan Botung menempatkan 134 mangsa daripada 69 keluarga.

Sementara itu, di Membakut, satu pusat pemindahan banjir yang dibuka iaitu Dewan Mini Puspanita menempatkan 10 mangsa daripada empat keluarga.

-- BERNAMA