Wisma Putra hari ini mengesahkan enam rakyat Malaysia dilaporkan cedera dalam kemalangan di stesen Mass Rapid Transit (MRT) Joo Koon, Singapura, semalam.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Luar memaklumkan, terdapat penumpang warganegara Malaysia yang turut cedera dan telah mendapat rawatan di hospital berdekatan.

Setakat ini, 29 penumpang telah tercedera dan tiada kematian dilaporkan dalam kejadian tersebut.

“Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura sedang bekerja rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapat maklumat lanjut selain memerhati sebarang perkembangan situasi," kata kenyataan tersebut.

Menurut pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura dan penyelia perkhidmatan SMRT, sebuah tren yang bergerak pada kelajuan 16km sejam telah melanggar sebuah tren yang sedang berhenti di stesen Joo Koon di Jajaran Timur-Barat.

BACA: Tren MRT Singapura berlanggar, 23 cedera

“Pada pukul 8:19 pagi, tren kedua telah berhenti dibelakang tren yang rosak. Pada pukul 8:20 pagi, tren kedua itu bergerak ke hadapan tanpa dijangka dan telah melanggar tren pertama,” tambah Wisma Putra.

Menurut kenyataan itu lagi, penumpang dan dua pekerja SMRT telah dihantar ke hospital bedekatan dengan kecederaan ‘ringan sehingga sederhana’ dan kebanyakkan mangsa telah dibenarkan keluar hospital.

Sebanyak 517 penumpang dilaporkan berada dalam tren pada hari kejadian.