Enam sekeluarga dari Pulau Denawan, Semporna, maut selepas dipercayai ditembak dalam kejadian di perairan selatan Filipina, baru-baru ini.

Dalam kejadian 5 November lalu itu, kesemua mangsa termasuk seorang kanak-kanak berusia lapan tahun dikatakan dalam perjalanan untuk menghadiri sambutan Maulidur Rasul di Siasi, selatan Filipina.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, siasatan awal mendapati keenam-enam mangsa itu menetap di Pulau Denawan, Semporna namun tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri.

Katanya, kes itu kini diklasifikasikan sebagai kejadian mati mengejut memandangkan ia berlaku di luar perairan negara.

“Aduan telah dibuat dan mayat mangsa dibawa (ke Pulau Denawan) kalau tidak silap pada 7 November dan dikebumikan pada 8 November.

"Satu laporan polis telah dibuat oleh anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna dan kita menjalankan siasatan kes ini sekarang. Kes ini disiasat sebagai kes SDR atau laporan mati mengejut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui dalam majlis sesi pendengaran awam Jawatankuasa Khas Menimbang Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) di Kota Kinabalu, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Omar berkata, motif kejadian itu berkemungkinan kerana balas dendam memandangkan semua barangan milik mangsa tidak hilang di lokasi kejadian.

Beliau menambah, ketika insiden berlaku, enam mangsa bersama dua lagi ahli keluarga yang lain menaiki bot menuju ke selatan Filipina sebelum ditahan sebuah bot di perairan berkenaan.

Jelasnya, tembakan kemudiannya dilepaskan oleh sekumpulan individu tersebut dan mengorbankan enam mangsa, dengan dua lagi ahli keluarga mereka yang terselamat membuat laporan polis di IPD Semporna.