Lima sekeluarga termasuk tiga kanak-kanak maut selepas kenderaan yang mereka naiki terbabas dalam kemalangan ngeri di kilometer 288.6 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berdekatan Plaza Tol Chukai di sini hari ini.

Kemalangan sekitar 5.30 petang tadi itu turut menyebabkan tiga ahli keluarga mangsa cedera parah.

Nahas dipercayai berlaku selepas tayar hadapan kiri kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Hyundai Starex Royal yang dinaiki 10 sekeluarga itu meletup sebelum terbabas melanggar pembahagi jalan dan merempuh tiang jejantas.

Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kemaman oleh orang awam.



Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, DSP Normansah Din, enam mangsa yang meninggal dunia adalah:

1. Ahmad Razi bin Abd Rahman, 63, (Abang Pemandu)
2. Pauziyah Binti Awang, 56, (Isteri Pemandu)
3. Quratulnisa, 11, (Anak Pemandu)
4. Sofea Adriana Bt Shahruddin, 7, (Cucu Ahmad Razi bin Abd Rahman)
5. Ahmad Nijat, 9, (Anak Pemandu)
6. Mahani Binti Ngah, 42, (Kakak Pemandu) – Meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital

Cedera parah
1. Ahmad Shakir , 12, (Anak Pemandu)
2. Ahmad Mukriz , 3, (Anak Pemandu)
3. Quratul Ain, 14, (Anak Pemandu)

Cedera ringan bahagian kepala
1. Ahmad Nasal bin Abd Rahman, 52, (Pemandu)

Nahas dipercayai berlaku selepas tayar hadapan kiri kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Hyundai Starex Royal yang dinaiki 10 sekeluarga itu meletup. - Foto Bernama

Menurutnya lagi, mangsa dalam perjalanan menghadiri satu kenduri kahwin di Felda Jengka di Pahang. Selepas majlis itu mereka meneruskan perjalanan ke Universiti Malaysia Terengganu untuk melawat seorang saudara sebelum bertemu nahas.

Ketika kejadian keadaan cuaca baik dan jalan raya kering.

Mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Klang menuju ke Kuala Terengganu untuk bercuti. - Foto Astro AWANI
Sementara itu, saksi kejadian, Siti Nazirah Embong, 28, berkata dia yang sedang memandu di laluan yang sama mendengar bunyi letupan kuat sebelum melihat kenderaan itu terbabas.

Kemalangan berlaku sejurus selepas kereta MPV terbabit memotong kenderaan yang dipandunya.

“Dia langgar tiang jejantas itu dan enjin tercampak keluar dan terbakar. Lepas itu kereta tergolek, terguling-guling sampailah ke kawasan ini. Masa kereta langgar tiang itu tiga orang mangsa tercampak keluar. Lepas itu baru nampak pemandu itu keluar, ikut arah pintu penumpang.

“Memang laju sangat, saya tak tahu berapa, lepas selisih dengan saya kereta sudah melanggar pembahagi jalan, nasib baik saya sempat brek,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Laluan itu sememangnya sering mencatatkan kemalangan maut, tahun lalu, enam sekeluarga maut selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum terperosok ke bawah sebuah treler yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 258.8, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran kawasan rehat dan rawat (R&R) Perasing.

BACA: Isteri maut, suami parah pikap terbalik di LPT

BACA: Jalan beralun bukan punca kemalangan maut LPT2 - Fadilah Yusof

BACA: Pelajar IPTA maut kemalangan di LPT2