Keupayaan perkhidmatan Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) akan meningkat 50 peratus berikutan pelancaran enam tren baharu hari ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kesemua tren baharu bermotifkan songket itu merupakan tambahan kepada 12 tren ERL sedia ada.

Menurutnya, dua set tren baharu itu akan digunakan bagi perkhidmatan KLIA Ekspres manakala empat lagi untuk kegunaan KLIA Transit.

"Tren itu yang akan beroperasi esok. Perkhidmatan tambahan bagi tren KLIA Transit itu juga akan mengurangkan tempoh menunggu setiap 15 minit daripada kekerapan setiap 20 minit pada waktu puncak.

"Ketika bukan waktu puncak pula, kekerapan pelepasan tren akan meningkat kepada 20 minit berbanding 30 minit sebelum ini.

"Ia juga menjadikannya setara dengan perkhidmatan KLIA Ekspres," katanya kepada pemberita selepas melancarkan tren baharu itu di Lapangan Terbang Antarbangsa KL (KLIA) di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kenaikan kadar tambang pada 2016, Tiong Lai berkata jumlah penumpang perkhidmatan itu berkurang sebanyak 19 peratus.

Kata beliau, penambahan tren itu juga meningkatkan penawaran nilai, sesuatu yang sangat penting bagi menarik lebih ramai orang menggunakan pengangkutan awam.

"Ia juga menjadi pelengkap kepada komitmen kerajaan untuk menambah baik infrastruktur pengangkutan awam dan kualiti perkhidmatan," katanya.