Enggan dibawa ke hospital menyebabkan seorang lelaki warga emas bertindak menikam diri sendiri menggunakan pisau dalam kejadian di sini, pada Khamis.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 10.40 pagi di hadapan kedai gunting rambut, Flat Sri Saujana, Lebuh Macallum itu menyebabkan mangsa yang berusia 84 tahun mengalami kecederaan di bahagian perut.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata pihaknya menerima laporan daripada pengadu pada jam 10.40 pagi berhubung kejadian seorang lelaki yang cedera parah setelah menikam diri sendiri.

"Mangsa dalam keadaan sedar dan ambulans telah bawa mangsa ke Hospital Pulau Pinang," kata Che Zaimani.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati mangsa mengalami empat kesan tikaman di bahagian perut dan satu tikaman serius sedalam 4 sentimeter (cm) namun disahkan stabil.

Katanya, soal siasat terhadap anak lelaki warga emas itu mendapati mangsa sering mengugut untuk membunuh diri sekiranya dibawa ke hospital.

“Anak mangsa memberitahu mangsa selalu ugut untuk bunuh diri jika dia dibawa ke Hospital. Mangsa mengalami masalah penyakit jantung dan sakit tua.

"Anak mangsa tak sangka mangsa betul-betul tikam diri sendiri hari ini di hadapan kedai anaknya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut Che Zaimani, kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh diri.