Seorang pelajar tingkatan satu cedera akibat dipukul sekumpulan remaja lelaki Khamis lepas dipercayai kerana enggan menganggotai kumpulan samseng, menurut polis.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Kamarul Zaman Mamat berkata dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari, pelajar itu yang berada di sebuah kedai makan berhampiran sekolahnya di Pandamaran, Klang telah didatangi beberapa remaja yang kemudian menariknya ke kawasan perumahan berhampiran.

"Mangsa kemudiannya dipukul, ia dipercayai akibat beliau enggan menyertai kumpulan samseng yang disertai oleh suspek," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya suspek bagaimanapun berhenti memukul mangsa dan melarikan diri apabila ternampak sepasukan polis sedang melakukan rondaan di kawasan berhampiran.

Katanya susulan itu, polis menahan dua remaja, masing-masing berumur 13 dan 15 tahun bagi membantu siasatan.

Beliau berkata siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada suspek terlibat dalam kegiatan gangsterisme.

"Mangsa yang cedera di tangan, bahagian belakang badan dan kaki telah dirujuk ke hospital bagi mendapat rawatan," katanya.