Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun masih mengunci mulut berhubung tindakan beliau seterusnya berikutan laporan berita yang menyatakan beliau tidak akan dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi Parlimen Selangau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Enggan mengulas lanjut meskipun ditanya media mengenai karier politiknya, Entulu, 64, yang juga Timbalan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan penyandang kerusi Selangau sejak 2004, hanya menggelengkan kepalanya.

Bagaimanapun, ketika ditemui media selepas menghadiri majlis makan malam anjuran Kelab Perpaduan Miri malam tadi, beliau dengan tenang menjawab, "Apabila tiba masanya, saya akan mengadakan sidang akhbar".

Presiden PRS dan Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Dr James Jemut Masing dilaporkan media minggu ini berkata, kerusi Parlimen Selangau dan Lubok Antu akan menyaksikan muka baharu parti bertanding pada PRU14 nanti.

Masing juga mengumumkan parti itu akan mengekalkan penyandang bagi kerusi Parlimen Sri Aman, Julau, Kanowit dan Hulu Rajang.

Entulu menjadi tumpuan selepas Persidangan Perwakilan Tritahunan Ke-4 PRS di Bintulu pada 2016 apabila beliau dipilih semula sebagai timbalan presiden parti.

Beliau yang memegang jawatan itu sejak 2006 mengalahkan bekas Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan pada masa itu yang juga Naib Presiden parti, Datuk Joseph Salang Gandum, 68.

Salang, Anggota Parlimen Julau, pada mulanya dilihat sebagai pendahulu dalam pertandingan jawatan itu.

Salang dilihat sebagai calon kegemaran selepas pemerhati politik percaya beliau bersepakat dengan Masing yang kembali sebagai presiden parti.

Sebaik sahaja memenangi jawatan timbalan presiden, Entulu dipetik sebagai berkata bahawa keputusan pemilihan parti itu menghantar mesej yang kuat daripada perwakilan akar umbi yang mahukan anggota Parlimen mereka dikekalkan dalam PRU14 melainkan penyandang enggan dicalonkan semula.

-- BERNAMA