Kerajaan Pakatan Harapan perlu menerima hakikat polisi mereka telah menukar hala tuju ekonomi negara menjadi lebih teruk, kata bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Keadaan itu, jelas beliau, mengakibatkan rakyat terpaksa ‘berkorban’ ekoran kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng baru-baru ini yang mengatakan tidak ada lagi ‘habuan’ untuk rakyat memandangkan Belanjawan 2019 agak terhad.

“Dahulunya, kita ada Program Transformasi Negara yang begitu teratur dan berkesan.

“Kini, kita ada Menteri Kewangan yang takut popularitinya terancam dan satu kerajaan yang minta rakyat untuk berkorban oleh kerana langkah-langkah regresif mereka,” kata ahli Parlimen Pekan itu melalui catatan terbaharu beliau di laman Facebooknya hari ini.


Najib berkata, selama 9 tahun negara diuruskan di bawah kerajaan Barisan Nasional pimpinan beliau, rakyat tidak pernah diminta untuk berkorban.

“Ekonomi (pada zaman Barisan Nasional) semakin bertumbuh dan bantuan kepada rakyat semakin bertambah.

“Tiba-tiba apabila kerajaan PH mengambil alih dan mengubah polisi ekonomi Malaysia secara dasar, mereka mahu rakyat untuk bersedia berkorban,” sindirnya lagi.

Lim, yang juga Setiausaha Agung DAP semalam dilaporkan berkata pengorbanan itu perlu memandangkan hutang negara kini sudah melebihi RM1 trilion, dan langkah penjimatan perlu bagi memastikan keadaan fiskal negara kembali ke tahap normal.

Namun, Najib menganggap kenyataan itu retorik, dan menyalahkan kerajaan kini kerana mengambil masa selama tiga bulan untuk menggantikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

‘Tax holiday’ selama tiga bulan itu, jelasnya lagi, mengakibatkan Kerajaan Persekutuan kehilangan sumber pendapatan yang signifikan.

“Masalah pokok kerajaan hari ini sebenarnya ialah akibat daripada langkah diambil mereka sendiri selepas PRU14 untuk memberi tempoh 3 bulan sifar cukai tanpa GST ataupun SST, menggantikan GST dengan SST, mengembalikan subsidi pukal dan pembatalan projek-projek secara meluas.

“Ini telah mengakibatkan kerajaan kehilangan dana sekurang-kurangnya RM40 bilion setahun tidak termasuk wang input GST yang perlu dibayar balik kerana GST tiba-tiba disifarkan dan dimansuhkan,” katanya lagi.

Najib berkata beliau sudah menjangkakan belanjawan kali ini defisit memandangkan kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan Lim mengenai keadaan kewangan negara yang meruncing.

“Saya juga pasti bahawa bajet 2019 akan merupakan bajet defisit. Ini bermakna hutang negara akan bertambah dan bukan dikurangkan.

“Guan Eng sudah memberi gambaran ini akan berlaku kerana sejak minggu lalu, beliau telah mengumumkan bahawa kerajaan akan menerbitkan lebih banyak bon kerajaan. Menerbitkan bon maksudnya meminjam wang. Dan ini adalah hutang,” katanya.

Jelas Najib lagi, Menteri Kewangan itu pastinya akan mengambil langkah mudah dengan menuding jari kepada kerajaan lama dan ke arah beliau sendiri dengan cerita hutang RM1 trilion.