Peguam Eric Paulsen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini terhadap pertuduhan menerbitkan penerbitan menghasut berhubung dakwaan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menggalakkan ekstremisme setiap Jumaat.

Paulsen membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Abdul Rashid Daud.

Beliau didakwa membuat catatan mengenai perkara itu dalam bahasa Inggeris di laman sosial Twitter miliknya.

Peguam itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5), Bukit Aman, di sini pada 10 Jan lepas.

Paulsen, yang juga Pengarah Eksekutif Lawyers For Liberty, didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama, yang boleh dipenjara sehingga lima tahun jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin menawarkan wang jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili tertuduh memohon tiada syarat berlebihan dikenakan ke atas anak guamnya yang merupakan seorang peguam kerana tiada sebab untuknya melarikan diri dan tidak menghadirkan diri ke mahkamah pada tarikh yang ditetapkan.

Abdul Rashid membenarkan Paulsen dijamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 April ini untuk sebutan.