Isu penempatan setinggan di Kampung Muhibbah, Kampung Cahaya Baru dan Kampung Mangkalinau di daerah Sandakan menjadi isu hangat diperkatakan baru-baru ini susulan pihak Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) telah mengeluarkan notis peringatan terakhir kepada semua penduduk yang masih enggan membuka atau merobohkan rumah mereka sehingga hari ini.

Isu timbul berikutan ia terletak dalam Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) merupakan kawasan keselamatan yang meliputi 1,400 kawasan pantai timur Sabah bermula dari Kudat sehinggalah ke daerah Tawau.

ESSCom dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Mac, 2013 yang bertujuan untuk mengukuhkan tahap keselamatan di bahagian timur Sabah susulan insiden pencerobohan yang berlaku di Tanduo Lahad Datu.

Setelah beberapa tahun berlalu, antara tumpuan utama ESSCom pada ketika ini adalah untuk menangani masalah setinggan dan pada 4 Ogos lalu, Komander ESSCom yang baharu Datuk Hazani Ghazali telah mengeluarkan satu kenyataan kepada bahawa pihaknya memandang serius masalah kewujudan perkampungan atas air dan darat di negeri Sabah.

Menurut beliau, kewujudan rumah setinggan ini melibatkan kerugian besar kepada kerajaan negeri terutama sekali dari segi kecurian bekalan air dan elektrik.

Foto Astro AWANI
Dari sudut keselamatan, penempatan setinggan atas air dan darat juga kebanyakan dihuni oleh Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang menjadi kebimbangan sebagai tali barut penceroboh atau penjenayah rentas sempadan seperti pengalaman yang lalu dalam insiden serangan di Tanduo Lahad Datu dan Simunul Semporna.

Katanya, salah satu strategi ESSCom adalah untuk menangani pendapatan asing tanpa izin dan rumah setinggan yang tidak mempunyai geran dan status yang sah.

ESSCom juga akan mengambil tindakan sewajarnya dan akan bertindak bersama pihak berkuasa tempatan setiap daerah serta agensi-agensi luar yang berkaitan untuk tindak selanjutnya tanpa sebarang kompromi.

Kesemua mereka diminta untuk bersedia kerana tempoh masa yang panjang telah pun diberikan dan satu operasi bersepadu perobohan akan dibuat pada 9 September, 2017 ini.

Menurut MPS, notis dan bancian telah dibuat oleh pihak ESSCom sejak dua tahun lalu meminta penduduk di ketiga-tiga buah kampung tersebut agar berpindah ke rumah PPR Taman Harmoni namun masih ramai yang enggan untuk berpindah malah MPS mendakwa ada pemilik yang mengambil kunci rumah PPR dan menyewakan rumah tersebut kepada orang lain.

* Nantikan laporan wakil Astro Awani di Sabah yang akan mengupas dan mendalami isu ini bagi mencari jalan penyelesaian bermula hari esok dalam satu sidang media yang dimulakan dengan Pergerakan Pemuda UMNO Sandakan (LIVE Facebook Astro Awani). Saksikan!