Seorang lelaki diberkas pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) bersama 46,040 kotak rokok dan 486 botol arak yang disyaki diseludup dalam satu serbuan di Taman Tinosa, pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang itu, kenderaan suspek yang berumur 53 tahun berkenaan turut dirampas selepas dipercayai digunakan untuk kegiatan penyeludupan.

Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali berkata, hasil makluman awam yang diterima pihaknya berhubung kegiatan itu, sepasukan tujuh anggota dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan serbuan.

“Sebaik tiba di rumah terbabit, anggota bertugas menemui 46,040 kotak rokok pelbagai jenis rokok antaranya 2,900 kotak rokok jenis teh hijau, 7,000 kotak jenis Absolute, 5,200 jenis Astro merah dan pelbagai jenis lagi.

“Selain itu, sebanyak 486 botol arak pelbagai jenis turut ditemui. Ia disembunyikan dalam sebuah bilik di rumah berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati, barangan itu diseludup dari Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Sabtu, sambil menambah, rokok dan minuman keras itu disyaki tidak dibayar cukai kastam.



Hazani berkata, suspek ditahan dan barangan berkenaan dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.