Semua 12,000 etnik Rohingya yang berada di Kedah dan Perlis diingatkan supaya berada di dalam rumah dan tidak keluar sesuka hati dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki fasa kedua.

Amaran itu diberikan Presiden Persatuan Rohingya Kedah/Perlis, Yussof Ali, selepas empat lelaki Rohingya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Rabu lalu, mereka ditangkap ketika terlibat dalam aktiviti sabung ayam di Sahab Perdana, dekat sini.

Keempat-empat tertuduh dijatuhi hukuman denda RM1,000 dan penjara tiga bulan selepas ingkar PKP.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan kerana berkumpul dan boleh menyebabkan merebaknya penyakit berjangkit dan melanggar Peraturan 11 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Jelas Yussof, mereka seharusnya mematuhi undang-undang Malaysia dan memahami situasi ketika negara ini sedang memerangi wabak COVID-19, di mana semua rakyat diminta tidak keluar jika tiada sebarang urusan penting.

"Kita mesti ikut undang-undang Malaysia, hormatinya. Saya minta tolong dengan bangsa-bangsa Rohingya, jangan keluar rumah, duduk dalam rumah.

"Apabila keluar ke mana-mana atas urusan mustahak, mesti ambil surat polis baru boleh keluar.

"Kalau keluar begitu sahaja, mesti kena tangkap, kena saman. Kalau saman RM1,000 tak boleh bayar, kena penjara empat bulan," katanya.

BACA: Empat lelaki ditahan tonton sabung ayam ketika PKP

Yussof menjelaskan, sepanjang tempoh PKP ini beliau akan terus berkerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memastikan tiada etnik Rohingya yang mengingkari perintah ini.

Keempat-empat lelaki warga Myanmar tersebut ditahan ketika sedang asyik melihat ayam sabung bertarung di kawasan lapang belakang Terminal Bas Shahab Perdana, pada petang Rabu.