Pengalaman menyelusuri sungai Sarawak kini pastinya berbeza apabila sistem bateri yang diguna pada perahu tambang di sana dinaik taraf kepada sistem solar.

Sistem yang dibangunkan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) ini bagaimanapun masih mengekalkan ciri tradisional perahu tambang itu sendiri.

Menurut pensyarah UNIMAS, Dr. Atta Idrawani Zaini, pembaharuan ini dibangunkan bagi memberi pengalaman berbeza menyeberangi sungai di Sarawak.

“Untuk fasa pertama ni kita telah melakukan facelift ke atas 12 perahu tambang yang telah pun kita pilih berdasarkan kriteria tertentu.

“Diharapkan selepas ini dalam fasa kedua dan seterusnya kita akan dapat menyempurnakan 100 peratus perahu tambang yang berkhidmat di sungai Sarawak,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.

Projek fasa pertama ini akan menilai sebarang kelemahan dan isu teknikal agar ia boleh diperbaiki pada fasa berikutnya.

Ujarnya, harapan besar dalam projek itu adalah dapat meningkatkan nilai perahu tambang itu sendiri.

"Kita ingin menjual pengalaman experience menyeberangi sungai Sarawak itu sendiri lebih daripada sebagai satu bentuk pengangkutan," katanya.