Ahli EXCO dari KEADILAN dan DAP Selangor tidak akan berjumpa dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kecuali di mesyuarat mingguan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk mengelakkan sebarang perbincangan mengenai kedudukan parti masing-masing.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dari KEADILAN dan DAP dalam satu kenyataan berkata, mereka menghormati perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bahawa Abdul Khalid meneruskan tugas sebagai Menteri Besar Selangor dalam suasana sekarang.

"Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, KEADILAN dan DAP akan menggunakan kaedah yang menepati Undang-undang Tubuh Negeri dan enakmen yang berkenaan untuk mengembalikan tampuk pemerintahan Kerajaan Selangor kepada Pakatan Rakyat (PR) yang dipilih oleh rakyat.

"Sebagai menghormati kehendak rakyat dan titah Sultan Selangor tersebut, kami akan terus menjalankan tugas harian sehinggalah seorang Menteri Besar baharu dari PR dilantik untuk menggantikan Abdul Khalid," kata kenyataan itu.

Dalam pada itu kenyataan itu menambah, dalam tempoh peralihan ini, urusan yang melibatkan anggota Exco dari KEADILAN dan DAP adalah mengikut mandat yang telah ditetapkan oleh parti.

"Kedudukan dan fungsi Abdul Khalid hanyalah dalam kapasiti peralihan sementara menunggu seorang menteri besar dari PR dilantik.

"Abdul Khalid dan Exco tidak boleh membuat sebarang keputusan tanpa melalui proses undian. Sebarang keputusan Exco perlulah diundi supaya fungsi Abdul Khalid dihadkan kepada kapasiti peralihan," ujar kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu lagi, perkara berkenaan akan dilaksanakan serta merta selain terus menjalankan tugas mengikut mandat yang diberikan kepada PR.

Ia dilihat dapat diselesaikan secara baik sementara menunggu seorang Menteri Besar dari PR mengambil alih dalam masa terdekat.