Jenazah kanak-kanak mangsa kemalangan ngeri membabitkan beberapa kenderaan di Kilometer 446 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Rawang, 14 Julai lalu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samagagah,Permatang Pauh pagi tadi.

Jenazah Ezzudin Noorakhirludin Alam,10 tahun dikebumikan bersebelahan kubur ayahnya, Noorakhirludin Alam Mohamad Noor, 48 di tanah perkuburan sama selepas solat subuh.

Jenazah sebelum itu tiba di rumah ibu saudaranya di Permatang Pauh kira-kira jam 4 pagi dan disembahyangkan di Masjid Kampung Sama Gagah.

Suasana pilu menyelubungi upacara pengkebumian Ezzudin yang merupakan anak bongsu kepada Noorakhirludin Alam yang turut meninggal dunia di lokasi dalam kejadian kira-kira jam 12 tengahari itu.

Ezzudin sebelum ini dilaporkan mengalami kecederaan parah dan bertarung dengan maut hampir lima hari sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 8.45 pagi Khamis selepas otaknya disahkan tidak berfungsi.

Ketika kejadian, arwah bersama bapa dan ibunya dalam perjalanan dari Bertam, Pulau Pinang ke Bangi dan Cyberjaya untuk melawat abang dan kakaknya yang belajar di sana.

Ezzudin antara lima yang maut, manakala dua lagi cedera dalam kemalangan kira-kira jam 12 tengah hari yang membabitkan sebuah treler tanpa muatan dengan kereta Perodua Myvi, kereta Nissan Almera, MPV Perodua Alza, MPV Toyota Vellfire, kereta BMW dan bas ekspres.

Mereka yang maut adalah pemandu MPV Toyota Vellfire, pemandu MPV Alza dan dua penumpang kenderaannya iaitu Noorakhirludin Alam, Nur Fitrah Rosman, 24, Nurbaya Mohd Zaki, 24 dan Mohammad Hafiz Shahrul Jefri Din, 24. Semua disahkan maut di lokasi kejadian.