Polis akan bekerjasama dengan Facebook untuk menyebarkan maklumat tentang kehilangan kanak-kanak di negara ini kepada pengguna laman sosial berkenaan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman ACP Ong Chin Lan berkata ia sebagai langkah bagi mencari dan mengesan kanak-kanak yang hilang menggunakan medium tersebut.

"Laman media sosial ini akan bertindak dengan memberikan amaran yang akan muncul dalam slot suapan berita bagi memaklumkan kepada pengguna Facebook apabila ada kanak-kanak hilang.

Ong berkata, idea tersebut merupakan inisiatif daripada seorang wakil dari Facebook yang menghubungi pihaknya pada awal tahun ini untuk membincangkan tindakan yang perlu diambil dalam mencari kanak-kanak yang hilang.

"Perkara ini telah diluluskan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan ia bakal dilancarkan pada September tahun ini," katanya dalam sidang media NUR Alert, portal kanak-kanak hilang dan pedofilia di sini, pada Jumaat.

"Dengan wujudnya kerjasama ini, Facebook telah menjadi ahli pasukan ke-36 PDRM bagi sistem National Urgent Response Alert (NUR Alert).

Selain itu, PDRM turut bekerjasama dengan 35 anggota pasukan dari pelbagai kementerian, kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan untuk mengumpul maklumat dan mencari kanak-kanak hilang di bawah sistem berkenaan.

Sistem itu sebelum ini dilancarkan pada 2007 di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat berikutan penculikan Nurin Jazlin Jazimin.

Bagaimanapun, pada 2011 PDRM mengambil alih sistem pengurusan penculikan kanak-kanak hilang di negara ini.

NUR Alert bertindak sebagai pusat pengumpulan dan penyebaran maklumat kepada kanak-kanak di bawah umur 12 tahun yang diculik atau hilang.