KUCHING:Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadillah Yusof berharap politik Sarawak akan terus stabil.

Menurut beliau, rakyat khususnya generasi muda diharap memahami aspirasi perjuangan pemimpin masa kini demi masa depan Sarawak dan Malaysia.

Dalam pada itu, Fadillah yang merupakan Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menjelaskan akan terus memberi sokongan padu tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

"Saya percaya di bawah kepimpinan Abang Johari asas ekonomi negeri ini akan terus kukuh dan berada di landasan tepat untuk menjadi negeri maju 2030.

"Saya juga percaya kerajaan negeri diterajui Abang Johari dan kepimpinan GPS akan mencapai lebih banyak kemajuan dalam rundingan dengan Kerajaan Persekutuan khususnya melibatkan hak-hak Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)," katanya dalam kenyataan Harapan dan Resolusi Tahun Baharu 2021 pada Rabu.

Dalam perkembangan berasingan, Fadillah yang juga Menteri Kanan Kerja Raya berharap agar ekonomi negara kembali rancak dengan sektor pembinaan menjadi antara penyumbang utama memacu semula ekonomi yang terkesan akibat COVID-19.

Jelasnya lagi, menerusi Belanjawan 2021, sebanyak RM7.35 bilion diperuntukkan bagi sektor pembinaan dan pembangunan infrastruktur negara dilihat mampu menarik pelaburan, memperkukuhkan sektor ekonomi dengan memberi fokus kepada automasi dan pendigitalan.

"Saya juga berharap kesemua projek infra yang diluluskan di bawah Belanjawan 2021 Kementerian Kerja Raya dapat dilaksanakan mengikut perancangan demi kesejahteraan rakyat," katanya.

Selain itu, Fadillah turut mengajak seluruh lapisan rakyat di seluruh negara untuk terus memelihara perpaduan dan keharmonian kaum, serta bersatu dalam menghadapi cabaran ekonomi akibat COVID-19.

"Rakyat juga perlu belajar hidup dengan COVID-19 dengan sentiasa mematuhi SOP ditetapkan dalam kehidupan seharian. Jadikan norma baharu amalan dan cara hidup," katanya.