Apa itu plasma darah?

Plasma darah merupakan salah satu daripada komponen darah manusia.

Ia merupakan cecair yang berwarna kekuningan dan merupakan antara bahagian penting dalam darah.

Setiap kali pendermaan darah dilakukan, pihak Pusat Darah Negara akan mengasingkan darah yang didermakan kepada beberapa komponen.

1. Sel Darah Merah
2. Plasma
3. Platelet

Setiap komponen ini mempunyai fungsi yang tersendiri dalam membantu merawat pesakit di hospital.


Apa fungsi utama plasma darah?

Plasma darah merangkumi kira-kira 55 peratus daripada keseluruhan komponen darah.

Ia berfungsi membawa air, nutrien, garam mineral dan protein enzim dan antibodi.

Peranan utama plasma adalah untuk membawa bahan-bahan ini kepada bahagian-bahagian badan yang memerlukannya.

Pada masa sama, sel-sel badan juga meletakkan produk sisa mereka ke dalam plasma dan dibawa untuk disingkirkan daripada badan antaranya oleh buah pinggang dan hati.


Apa yang diperlukan dari plasma darah dalam merawat COVID-19?

Memandangkan plasma darah berperanan mengangkut nutrien, hormon dan protein di dalam darah ke seluruh badan, konsep imuniti pasif boleh digunakan.

Plasma darah mampu menjadi elemen paling penting untuk membantu mempercepatkan penyembuhan pesakit yang dijangkiti COVID-19.

Ideanya, individu yang telah sembuh daripada jangkitan COVID-19 telah berjaya menghasilkan sistem imun yang memberi tindak balas yang kuat hingga mampu menghapuskan virus SARS-CoV-2 daripada badannya.

Sebahagian besar daripada tindak balas ini, adalah mereka berjaya menghasilkan antibodi (membabitkan mikrobial dan sel khusus dalam badan) untuk mensasarkan dan membunuh virus SARS-CoV-2 yang menjangkiti mereka.

Jadi, antibodi yang terhasil ini diambil daripada plasma pesakit COVID-19 yang telah pulih.

Menurut Ketua Pegawai Perubatan New York Blood Center Enterprises, Dr Bruce Sachais, menerusi transfusi (pemindahan) plasma daripada individu yang telah sihat kepada mereka yang kritikal, antibodi yang ada akan membantu pesakit berkenaan untuk melawan jangkitan dengan lebih efisyen buat sementara.

“Tindakan ini membolehkan proses penyembuhan pesakit berkenaan lebih cepat,” katanya menerusi laporan Times.com pada 26 Mac 2020.


Macam mana proses ambil plasma?

Prosesnya sama seperti menderma darah.

Pesakit COVID-19 yang telah sembuh hanya perlu mendermakan darah mereka melalui Pusat Darah Negara bagi membolehkan proses seterusnya dibuat.


Siapa layak untuk menderma plasma bagi tujuan rawatan COVID-19?

Penderma perlulah individu yang pernah dijangkiti COVID-19 dan telah pulih sepenuhnya.

Menurut salah seorang penderma plasma Malaysia, Reza Zuhairi Zainudin, setiap plasma yang didermakan mampu membantu beberapa orang pesakit.

“Akan tetapi tidak semua plasma boleh didermakan kerana penderma mestilah sihat daripada sebarang penyakit kronik, tidak mengambil sebarang ubat pada jangka masa panjang dan mempunyai kesihatan yang optimum,” katanya dalam laporan Bernama pada 5 April 2020.


Adakah rawatan ini mampu menyembuhkan pesakit COVID-19?

Rawatan ini masih dalam kajian mendalam saintis seluruh dunia termasuk di Malaysia.

Biarpun masih dalam peringkat kajian, rawatan ini dilihat efisien dalam membantu merawat pesakit COVID-19 yang kritikal.

Dalam sidang media oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada 4 April 2020, beliau menggesa kesemua pesakit COVID-19 yang telah sembuh untuk mendermakan plasma mereka bagi membantu rawatan terutamanya membabitkan pesakit kritikal.

Februari lalu, Pengarah Hospital Jinyintan di Wuhan, China, Dr Zhang Dingyu mengesahkan bahawa penggunaan rawatan ini telah banyak membantu pesakit kritikal di sana untuk pulih.

Beliau percaya,melalui kaedah ini ia akan mempercepatkan proses rawatan pesakit dan menggesa mereka yang telah sembuh untuk turut mendermakan plasma mereka.

Di Amerika Syarikat, US Food and Drug Administration (FDA) pada 24 Mac 2020 membenarkan doktor untuk menggunakan plasma daripada pesakit yang telah sembuh untuk merawat mereka yang kritikal jangkitan COVID-19 di bawah sistem kelulusan kecemasan.


Apa kesan sampingan daripada rawatan ini?

Selain daripada antibodi terhadap virus SARS-CoV-2, plasma daripada mereka yang telah sembuh akibat wabak COVID-19 turut mempunyai antibodi terhadap kumpulan darah yang berbeza daripada mereka.

Oleh yang demikian, plasma yang didermakan ini akan hanya diberikan kepada pesakit yang mempunyai kumpulan darah yang sama atau serasi dengan darah penderma.

Selain daripada itu, rawatan plasma ini juga boleh memberi kesan sampingan kepada pesakit seperti alahan dan demam, walaupun ianya jarang berlaku.

Pendermaan darah atau plasma ini tidak akan memudaratkan bekas pesakit COVID-19 yang ingin menderma.

Walaubagaimanapun mereka haruslah memenuhi kriteria-kriteria yang telah ditetapkan oleh pihak Pusat Darah Negara, termasuk:

1. Mempunyai kadar haemoglobin dan berat badan yang mencukupi
2. Penderma perlulah sihat sepenuhnya
3. Penderma tidak mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis dan tekanan darah tinggi.


Penghargaan kepada Dr Norris Naim, Pakar Hematopatologi dan Transfusi Darah atas bantuan untuk menyediakan artikel ini.