Fahami sebab Jho Low sukar ditahan, elak sebar berita palsu

Fahami sebab Jho Low sukar ditahan, elak sebar berita palsu
AKHBAR SATAR: Penyebaran berita palsu mungkin menganggu siasatan.
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia perlu memahami sebab mengapa pihak berkuasa mengambil masa agak lama untuk menangkap dan membawa pulang Low Taek Jho atau Jho Low.

Pakar Kriminologi, Datuk Akhbar Satar berkata, kurangnya kefahaman ini menjadi antara penyebab mengapa ada segelintir netizen dilihat sewenang-wenangnya menyebarkan berita palsu berkenaan penahanan ahli perniagaan kontroversi itu.

"Bukan mudah nak tahan dia kerana dia tidak berada dalam negara. Kalau benar dia di China, ia lebih sukar kerana China tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Malaysia.
"China pula negara yang besar, satu cabaran untuk mengesan dia di sana. Tambahan pula, ada kemungkinan dia sendiri sudah buat pembedahan wajah dan sebagainya.

"Tetapi tentunya rakyat Malaysia menaruh keyakinan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), malah Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad pun ada maklumkan untuk usahakan dengan cara private effort," kata Akhbar ketika dihubungi Astro AWANI.

Ujar beliau, Jho Low merupakan penjenayah kolar putih yang mempunyai kepakaran dan kenalan dan ini menambahkan lagi kesukaran pihak berkuasa memberkasnya.

Akhbar menambah, impak penyebaran berita palsu ini bukan calang-calang kerana ia berpotensi menganggu siasatan dan usaha membawa Jho Low ke muka pengadilan akan terbantut.

"Kalau kita terlalu banyak buat kenyataan, Jho Low akan mendapat maklumat menerusi sosial media. Kita sepatutnya tunggu pengesahan apabila polis berjaya menangkapnya," katanya.

Beberapa hari lalu, tular berita mengatakan Jho Low ditahan pasukan keselamatan China dan akan dibawa ke Malaysia oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).




Tag: Jho Low, PDRM, siasatan, Perdana Menteri, China, keselamatan, Akbar Satar, berita palsu


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.