BEBERAPA hari lalu tular di ruang maya satu video berdurasi 24 saat tentang sekumpulan pemain ragbi dari Shizuoka Seiko Academy, Jepun yang mengutip sampah dan puntung rokok ketika turut beraksi dalam kejohanan ragbi MCKK Premier 7-sebelah.
Walaupun aksi permainan mereka di padang tidak sehebat gergasi ragbi yang lain tetapi kelibat mereka di tepi padang telah mengundang pelbagai reaksi daripada netizen.
Ada yang merasa kesal malah ada juga yang merasa malu atas perbuatan dan sikap yang ditunjukkan pelajar-pelajar Jepun terbabit.
Memetik kata seorang sahabat, kita seharusnya bersyukur kerana masih ada sifat malu dalam kalangan kita.
Baginda Rasulullah S.A.W. seperti yang diriwayatkan di dalam Sahih Bukhari pernah bersabda: “Iman memiliki lebih daripada 60 cabang dan malu adalah sebahagian daripada iman.”
Maka tidak aneh bagi seorang manusia yang beriman kepada Allah mempunyai sifat malu.
Sebaliknya tatkala kita terus menjulang dan memuja manusia-manusia yang banyak skandal dan tidak berintegriti tanpa segan dan silu dengan sorakan “malu apa?” itu sebenarnya sikap yang memelikkan.
Dalam perjuangan panjang 62 tahun selepas kemerdekaan, perkara utama yang harus dibina dan diubah adalah perjuangan mengubah sikap sesuatu bangsa.
Sikap adalah rasa dalaman yang membentuk tingkah laku. Sikap adalah persoalan dalaman seseorang yang memerlukan kecekalan dan jihad dalam diri untuk berubah.
Ia umpama satu pintu yang terkunci dari dalam yang mana hanya mampu dibuka oleh diri sendiri.
Perjuangan mengubah sikap ini yang sebenarnya kita dapat pelajari daripada sikap yang ditunjukkan Skuad Ragbi Shizuoka Seiko Academy, Jepun kerana sikap dan kelakuan sesuatu bangsa hanya dapat berubah dengan terbinanya budaya baru yang lebih murni.
Masyarakat Jepun sentiasa mengamalkan falsafah kaizen (penambahbaikan) dalam budaya kehidupan dan pekerjaan mereka.
Di dalam industri, kaizen adalah merujuk kepada aktiviti yang dilakukan secara berterusan untuk meningkatkan fungsi dan peranan setiap individu dalam organisasi.
Konsep kaizen digunapakai dalam semua proses meliputi pengeluaran, logistik sehinggalah rantaian bekalan.
Dengan meningkatkan keseragaman sistem, budaya kaizen menghapus pembaziran dalam keseluruhan sistem pengilangan yang akhirnya mengurangkan kos; tanpa kompromi langsung terhadap kualiti pengeluaran.
Antara falsafah Kaizen yang berjaya diadaptasi dan di amalkan di Malaysia di seluruh sektor adalah Amalan 5S.
Ia adalah satu kaedah pengurusan bagi mewujudkan persekitaran tempat kerja yang selesa, kemas dan selamat.
Amalan 5S bermatlamat mewujudkan persekitaran kerja yang berkualiti secara sistematik dan praktikal.
Dengan melaksanakan Amalan 5S yang mencakupi 5 amalan asas iaitu SISIH, SUSUN, SAPU, SERAGAM dan SENTIASA AMAL; kualiti perkhidmatan dan proses bekerja dapat dimudahkan.
Memetik pandangan Khairul Salleh seorang graduan Waseda University, tindakan dan sikap yang ditunjukkan pasukan ragbi Jepun adalah sama seperti kaedah dan falsafah KonMari yang sangat popular kini.
Ia adalah satu konsep yang bermula dari diri sendiri yang sentiasa berusaha membetulkan apa yang tidak betul tanpa berfikir untuk menunjuk-nunjuk.
Yang utama adalah sentiasa berusaha melakukan perkara yang betul dan usah berkira ketika menghulurkan bantuan.
Akhirnya bila budaya kebersihan diri sendiri sudah terbentuk maka pasti tidak kekok untuk membersihkan sampah di tempat awam.
Pengalaman berada di Tokyo ketika menjalani kursus di SME University turut meninggalkan tanggapan positif penulis tentang ketinggian integriti bangsa Jepun.
Dalam satu rangka lawatan ke sebuah syarikat yang menjalankan bisnes aromaterapi dan herba, rombongan dimaklumkan bakal dijamu dengan resipi makanan tengahari dari sumber–sumber taman herba syarikat tersebut.
Ramuan herba yang akan digunakan telah diletakkan di dalam menu dan diberikan kepada semua peserta.
Bagaimanapun, sebelum makanan tengahari dihidangkan, pihak penganjur dan cef syarikat telah membuat pengumuman maaf secara terbuka kerana salah satu ramuan yang dinyatakan dalam menu tidak dapat digunakan kerana ketiadaan herba tersebut akibat musim sejuk di Jepun!
Begitu luar biasa budaya integriti masyarakat Jepun walaupun hanya ketiadaan dan pertukaran ramuan herba dalam resipi.
Tidak dapat dibayangkan sekiranya ia melibatkan pemalsuan sijil-sijil universiti, pasti sebagai seorang berbangsa Jepun dengan terhormat akan undur diri.
Jelas kepada kita bahawa menjadi kebanggaan bangsa Jepun apabila setiap daripada rakyatnya berjaya menunjukkan sikap yang luar biasa kepada dunia walau di mana dan situasi mereka.
Persoalan besar yang harus kita selami; sejauh mana kita berusaha dalam pembinaan budaya dan penambahbaikan sikap kita dalam membawa Malaysia kembali ke landasan yang betul.
Adakah sekadar yang bishe-bishe sahaja?
* Mohsein Shariff adalah Naib Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia.
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Mohsein Shariff
Thu Mar 07 2019
SIKAP bertanggungjawab pemain ragbi dari Shizuoka Seiko Academy, Jepun mengutip sampah dan puntung rokok ketika selepas beraksi dalam kejohanan ragbi MCKK Premier 7-sebelah menjadi perbualan netizen. - Gambar media sosial
Bursa Malaysia dibuka bercampur-campur
Pada 9.23 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.35 mata kepada 1,571.83 daripada 1,571.48 ketika ditutup pada Rabu.
Tahanan reman lima individu termasuk anak MB disambung hingga esok
Kesemua suspek berusia 26 hingga 37 tahun itu ditahan oleh SPRM antara pukul 7 dan 8 pagi Selasa lepas di sekitar Perlis.
[TERKINI] KWSP akan struktur semula akaun KWSP kepada tiga akaun
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan inisiatif penstrukturan semula akaun KWSP berkuat kuasa 11 Mei 2024 bagi tujuan menambah baik keselamatan pendapatan persaraan di samping memenuhi keperluan kitaran hidup ahli.
KWSP struktur semula kepada tiga akaun mulai 11 Mei
Akaun KWSP akan distruktur semula daripada dua kepada tiga, iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel.
Malaysia, Jepun perkukuh kerjasama dalam sektor pembinaan
Kedua-dua negara juga berhasrat memperkukuhkan kerjasama mengenai perkongsian maklumat dalam pengurusan dan penyelenggaraan lebuh raya, cerun serta pertukaran tenaga kepakaran dan teknikal.
Apple dilapor kurangkan pengeluaran Vision Pro susulan permintaan rendah
Walaupun jualan pada awalnya amat memberangsangkan, momentum tidak berterusan kerana unit awal hanya dibeli oleh peminat paling tegar Apple.
Nahas dua kenderaan punca insiden kecoh semasa pengebumian pegawai TLDM - Polis
Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 7.45 malam selepas pemandu kereta terlanggar sebuah motosikal berhampiran dengan masjid.
KL20: MYStartup platform boosts Malaysia’s startup ecosystem
KL20: Shariah-compliant startup revolution
Ringgit dibuka rendah berikutan dolar kekal tinggi menjelang data KDNK AS
Pada 9 pagi, ringgit susut kepada 4.7825/7870 berbanding dolar AS daripada 4.7765/7780 ketika ditutup pada Rabu.
Falsafah Kaizen dan integriti bangsa Jepun
Sikap adalah rasa dalaman yang membentuk tingkah laku. Sikap adalah persoalan dalaman seseorang yang memerlukan kecekalan dan jihad dalam diri untuk berubah.