Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bersedia memberi bimbingan kepada petani khususnya pesawah dalam usaha untuk membantu golongan terbabit keluar daripada garis kemiskinan dengan meningkatkan kaedah pertanian secara moden.

Ketua Pengarah FAMA Datuk Ahmad Ishak berkata FAMA menyambut baik cadangan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengatasi masalah tersebut dengan memperbaharui cara penanaman selain memperkenalkan tanaman kontan yang dapat mengurangkan kebergantungan kepada hasil padi.

"Kerajaan beri perhatian yang serius pada bidang penanaman sebab itu golongan pesawah digalakkan untuk menanam tanaman jenis jangka pendek seperti tembikai, jagung manis dan sayur-sayuran.

"FAMA bukan sahaja akan bantu dari aspek pemasaran sebaliknya dari peringkat awal lagi kita akan bantu antaranya dengan mengenal pasti dan mencadangkan jenis tanaman yang sesuai ditanam dan jenis tanah yang sesuai," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir semalam, mengenai isu kemiskinan dalam kalangan pesawah dan antara faktor yang didapati menyumbang kepada perkara itu adalah kerana terlalu bergantung kepada hasil padi.

Ahmad berkata jika pesawah melaksanakan tanaman jangka pendek, ia bukan sahaja dapat meningkatkan pendapatan mereka tetapi dapat memastikan bekalan makanan negara mencukupi dan mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan import.

"Pesawah yang menjalankan tanaman jangka pendek ini juga dapat pastikan pengguna dapat bekalan yang segar, berkualiti dengan harga yang berpatutan. Sebenarnya banyak tanaman yang kita mampu keluarkan sendiri dan terlalu banyak sangat mengimport, tidak bagus untuk ekonomi negara.

"Jadi, jika pesawah menyahut seruan Perdana Menteri banyak yang boleh dimanfaatkan oleh mereka melalui FAMA termasuk kemudahan-kemudahan yang disediakan FAMA termasuk pusat pengumpulan tanaman, tempat simpanan, pemprosesan dan pengangkutan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata sehingga kini sebanyak 800 pasar tani telah diwujudkan di seluruh negara dan FAMA menyasarkan jumlah itu mencecah 1,000 pasar tani menjelang 2020, selain memfokuskan produk lain termasuk MyFarm Outlet dan Agro Bazar.

-- BERNAMA