Setiausaha Pengelola Parti Keadilan Rakyat, Fariz Musa ditahan di sini malam ini mengikut Seksyen 134 Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan #KitaLawan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol Samah mengesahkan perkara itu dan berkata Fariz yang juga Koordinator Jingga 13 ditahan di Petaling Street, kira-kira 8 malam, selepas perhimpunan itu.

"Perhimpunan diadakan dalam keadaan terkawal tanpa sebarang provokasi. Hanya satu tangkapan dibuat," katanya kepada Bernama.

Peserta perhimpunan seramai kira-kira 500 orang mula berarak dari Masjid Jamek sebelum berkumpul di hadapan pusat beli-belah Sogo, kira-kira pukul 4.15 petang.

Mereka bersurai sepenuhnya kira-kira pukul 7 petang di lokasi terakhir berhampiran KLCC.

Berdasarkan tinjauan Bernama, kebanyakan peserta berpakaian hitam dan memegang sepanduk serta kain rentang.

Pihak polis mengawasi keadaan di sepanjang perhimpunan.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata perhimpunan #KitaLawan tidak lagi dibenarkan di ibu negara dan perlu dihentikan berikutan kumpulan terbabit bertindak agresif dengan membelasah seorang anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ketika menjalankan tugas.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Zainuddin Ahmad memberitahu Bernama Fariz turut menyertai perhimpunan itu.