Fasa kedua kerja-kerja pemeriksaan dan penyelenggaraan berjadual kabel Jambatan Pulau Pinang akan bermula Isnin ini hingga 21 Ogos depan.

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) berkata berikutan itu, penutupan lorong kiri dan lencongan trafik di KM4.2 hingga KM5.8 (Seberang Perai ke pulau) di Jambatan Pulau Pinang akan dilaksanakan.

"Lencongan dan penutupan jalan turut diadakan bagi memastikan keselamatan orang ramai serta kakitangan penyelanggaraan di laluan terbabit.

"Kabel Jambatan Pulau Pinang merupakan elemen penting yang perlu diperiksa setiap empat tahun bagi mengesan sebarang kerosakan," kata PLUS dalam kenyataan pada Jumaat.

Fasa pertama kerja-kerja pemeriksaan dan penyelenggaraan melibatkan laluan bertentangan yang dilaksanakan sejak 22 Ogos lepas, telah selesai mengikut jadual.

-- BERNAMA