Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata fasa pertama pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di Sabah akan dilancarkan pada suku pertama tahun depan.

Beliau berkata pembinaan lebuh raya sepanjang 2,239 kilometer itu yang akan menjadi penghubung bandar-bandar utama di Sabah dan Sarawak adalah sebagai memenuhi komitmen tinggi Kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan infrastruktur dan ekonomi di Sabah.

"Baru minggu lepas Majlis Ekonomi telah meluluskan struktur orde baharu Lebuhraya Pan Borneo di Sabah," kata beliau semasa berucap di Seminar Integrasi Nasional anjuran bersama Jabatan Perpaduan Negara dan Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) di sini pada Rabu.

Najib berkata projek berkenaan, apabila siap kelak, akan merangsang perhubungan antara Sabah, Sarawak dan wilayah-wilayah di negara jiran seperti negara Brunei Darussalam dan Indonesia.

Lebuhraya Pan Borneo merupakan salah satu projek yang dijanjikan Barisan Nasional dalam manifesto pilihan rayanya pada Pilihan Raya Umum 2013.

Sementara itu, Najib, ketika berucap di hadapan kira-kira 50,000 hadirin pada majlis sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka malam ini, berkata rakyat Sabah akan dapat menikmati kemudahan sama seperti rakan mereka di Semenanjung dengan pembinaan lebuh raya itu.

Katanya jika lebih 30 tahun lalu, rakyat Sabah cuma menyaksikan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) melalui kaca televisyen di Semenanjung namun pembinaan Lebuhraya Pan Borneo adalah bukti komitmen tinggi kerajaan persekutuan terhadap kemudahan yang berhak dinikmati rakyat Sabah.

"Kita tak boleh benarkan jurang pembangunan. Apa erti perpaduan nasional kalau ada golongan kumpulan kecil, besar, mana-mana kumpulan etnik, jantina atau wilayah yang tidak disentuh pembangunan...saya ingin lihat dari hujung Sarawak dari Lundu ke Lawas..masuk ke Sabah lebuh raya bertaraf dunia ini," katanya.

Hadir sama pada sambutan Hari Malaysia itu ialah Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, yang mewakili Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem.

Najib berkata kerajaan persekutuan bukan sahaja meluluskan RM20 bilion untuk projek lebuh raya itu malah kontraktor dan konsultan yang akan melaksanakan projek berkenaan akan terdiri daripada kontraktor dan konsultan berkelayakan dari negeri Sabah.

"Anak Sabah (akan) berjaya dapat kerja, dapat pendapatan tinggi dan akan dapat pengalaman. Ini janji kita kepada rakyat Sabah," katanya.